Filled Under:

Jalan Hidayah Buat 'Abang Long Fadil'...


Kejahatan berkait dengan naluri manusia. Mengenai libido yang mahukan kepuasan melalui cara yang bertentangan dengan nilai masyarakat. Kejahatan melahirkan penyangak. Apabila penyangak bergaul sesama penyangak, maka wujudlah gengster.

TV Alhijrah turut menyentuh isu gengster. Namun dalam medium dan persona yang tersendiri, sesuai dengan imejnya sebagai stesyen TV yang memimpin aturan isu berdasarkan perspektif Islam.

Gengster yang dibawa ke kaca TV Alhijrah ialah kisah Abang Long Fadil: Seorang samseng antara yang paling samseng di Singapura.



Abang Long Fadil mula merengkok di penjara pada usia 12 tahun. Dikurung kerana kesalahan menyerang dan mencederakan seorang remaja dengan menggunakan sebatang kayu.

Pada usia 12 tahun juga, Abang Long Fadil mencacah tatu pertama di tubuhnya. Akhirnya, seiring dengan sejarah gengsternya selama 15 tahun, tubuhnya dipenuhi tatu hingga merayap ke leher dan muka.

Anak Melayu Singapura ini bergelumang dalam keganasan. Malah, hampir mati apabila dibelasah dengan kayu dan parang oleh lapan musuhnya. Tubuhnya patah-riuk dan luka parah. Namun insiden itu tidak mengubah jalan hidupnya.

Kalau ambang maut pun tidak mampu menginsafkan seorang gengster, maka apa yang mengubah seorang jalan hidup lelaki berusia 29 tahun ini? Kalau berdepan dengan maut setelah dibelasah setengah mati pun, Abang Long Fadil masih berkeras hati, apakah detik ajaib yang mampu mengubah hidup lelaki samseng ini?

Jawapannya mudah. Abang Long Fadil diubah oleh hidayah Allah melalui mimpi. Hanya melalui mimpi lelaki samseng ini akhirnya tunduk pada keEsaan Allah.

“Saya mimpi digulung ombak besar lalu tersadai di pantai sendirian. Saya yakin ombak itu tanda kiamat. Sebulan selepas mimpi itu saya takut keluar rumah kerana bimbang dunia akan kiamat,” kata Abang Long Fadil.

Untuk menyaksikan secara terperinci kisah hidayah gengster paling gengster ini, saksikan program #PenghijrahanFenomena di TV Alhijrah pada Khamis 10 malam.

Isi hati dan warna-warni perjalanan mencari cinta Allah serta sejarah hitam dunia ganas Abang Long Fadil diceritakan secara empat mata kepada Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Izelan Basar. – MYNEWSHUB.CC




Popular Posts