SEMPORNA: Seorang lelaki terkejut selepas mendapati 'objek' yang sedang dibaham dua biawak di bawah sebuah rumah atas air di Lorong 3, Kampung Air, dekat sini, petang semalam, adalah mayat seorang bayi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, berkata bayi yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan oleh lelaki berkenaan ketika dia memandikan anaknya di dalam bilik air rumahnya pada jam 3.34 petang.
"Penduduk (lelaki) berkenaan terkejut apabila mengamati objek yang menjadi rebutan dua ekor biawak itu adalah tangan manusia. "Lelaki itu terus bertindak mendekati dan mengusir biawak berkenaan daripada memakan objek berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lelaki itu yang pergi melihat bayi berkenaan dengan lebih dekat, mendapati objek itu adalah tubuh bayi yang tidak sempurna. Lelaki itu kemudian meminta bantuan orang kampung untuk mengutip sisa tubuh yang ada dan segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
"Tempat penemuan mayat bayi ini telah dilawati dan didapati kawasan itu adalah kawasan rumah atas air, yang dipenuhi sampah sarap. Mayat bayi ditemui ketika air laut sedang surut," katanya.
Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.