Filled Under:

Jom Jalan Jalan Cari Makan!!!...Chicken Chop Murah RM4.90

chicken chop murah rm490 di tengah bandar kuala lumpur
Pasti sukar untuk dipercayai satu hidangan lengkap Chicken Chop kini boleh didapati dengan hanya RM4.90 di tengah Kuala Lumpur. Tetapi itulah yang boleh dinikmati di Eye’s Steak apabila restoran tersebut menawarkan menu makanan barat yang popular di kalangan masyarakat Malaysia pada harga paling rendah setakat ini.

Berpatutan dengan tagline ‘Rasa Restoran Harga Kedai’, Eye’s Steak yang terletak di Bazaria Pantai, Pantai Dalam ini bukan sahaja menyediakan hidangan Chicken Chop semata-mata, malah ia turut menawarkan pelbagai menu makanan barat lain yang cukup murah.

Mula dibuka Mac tahun lalu, pemilik kedai makan itu Noor Anisah Tajudin yang ditemui berkata harga rendah yang ditawarkan bertujuan untuk memberi tarikan kepada orang ramai ke tempatnya.

“Tak dinafikan pada mulanya harga yang kami tawarkan tidak serendah ini. Tapi untuk mahu menjadi tarikan orang ramai serta mahu mengambil kira orang yang kurang kemampuan untuk makan makanan ala barat ini, kami pun turunkan harga Chicken Chop ini kepada RM4.90.

“Alhamdulilah selepas kami turunkan harga tersebut kira-kira Oktober tahun lalu, sambutan sangat menggalakkan. Dalam sehari kami menerima lebih 300 pengunjung ke kedai kami sejak harga baru ditawarkan.

“Kami akui memang keuntungan untuk 1 hidangan itu tidak banyak tetapi kami mengambil kira volume pelanggan. Lebih ramai pengunjung lebih banyak la keuntungan kami,” katanya.


Meskipun menawarkan harga yang rendah pada setiap menu termasuk ‘steak’, namun sebagai pengusaha kedai makan itu dia tetap menjaga kualiti setiap hidangan.

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang, apa yang kami akan pastikan, daging atau steak kami tidak direbus semata-mata untuk menjimatkan masa.

“Sebaliknya, daging kami di grill supaya ia tidak kehilangan jusnya dan itulah yang terbaik sebenarnya. Pada kami, rasa itu bukan terletak pada kuah semata-mata, tetapi juga pada daging itu sendiri.

“Besar harapan kami agar anda dapat menghargai rasa steak sebenar selepas ini,” jelasnya lagi.

Bagaimana pun, Anisah tidak keseorang kerana beliau mengusahakan perniagaan itu bersama-sama dengan suaminya, Mohd Halim Mohid.

Berkongsi mengenai perancangan akan datang, Anisah memberitahu dia bakal membesarkan perniagaannya dengan membuka sebuah restoran di sekitar Cheras tidak lama lagi.

Eye’s Steak dibuka setiap hari kecuali Isnin dan mula beroperasi pada jam 6 petang sehingga 12 malam.




Popular Posts