Pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias, selesai menjalani rawatan angiogram di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, pagi ini.
Ustaz Kazim, 44, memulakan rawatan pada jam 9 pagi bagi mengenal pasti tahap kecederaan otot di jantungnya. Pegawai Khas Peribadinya, Rafi Rahman, berkata keadaan Ustaz Kazim stabil dan berada dalam keadaan sedar.
“Alhamdulillah, Datuk selesai menjalani rawatan (angiogram) dan syukur semua selamat.
“Ustaz Kazim stabil dan sedar namun agak lemah,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. Sebelum menjalani rawatan.
Ustaz Kazim menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Mokhtar Mustapa.
Sebelum ini, Ustaz Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu sakit dada ketika memberi ceramah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok.