JOHOR BAHRU - Empat sahabat yang dalam perjalanan bercuti ke Terengganu dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah masing-masing di Taman Seri Alam di sini pada Rabu lalu.
Keempat-empat mereka ialah Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri Nik Arif dan Muhammad Asyraf Isa, kesemuanya berusia 21 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, kesemua mereka keluar dari rumah pukul 9.30 malam menaiki sebuah kereta Honda Accord.
"Kesemua mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit masing-masing lebih kurang dua jam setelah bertolak dari Seri Alam sehingga kini.
"Kesemua mereka masih belum dapat dikesan sehingga kini dan pada peringkat ini tiada sebarang maklumat yang boleh menjurus berkemungkinan ada kaitan dengan unsur jenayah," katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, kesemua mereka dipercayai melalui jalan Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk ke lokasi percutian di Terengganu yang masih belum diketahui lokasinya secara tepat.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa di Balai Polis Seri Alam di sini semalam dan kes disiasat di bawah orang hilang.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222.
Sementara itu, ibu kepada Abu Izzani, Molek Mohd. Yusoff, 50, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu memberitahunya untuk pergi ke Terengganu bersama ketiga-tiga rakan yang dikenali sejak kecil itu selama empat hari.
"Menurut ahli keluarga salah seorang rakan anak saya yang juga hilang, mereka sepatutnya menjemput seorang lagi sepupu rakan anak saya di Kuantan.
"Bagaimanapun, sehingga kini anak saya dan juga rakan-rakannya gagal dihubungi. Saya harap kesemua mereka dapat ditemukan dalam keadaan selamat," katanya.
Menurutnya, anaknya itu merupakan penuntut di Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) Bandar Seri Alam di sini manakala Nik Syakir Zufayri di Institut Sains Darul Takzim (Instedt) Bandar Penawar, Kota Tinggi; Muhammad Asyraf di Akademi Saga, Shah Alam sementara Luqman bekerja di sebuah pasar raya di Plentong di sini.